Monday, 7 March 2016

Adding Two with Two: Buku Harian Baim

Untuk post ini, saya akan menggunakan bahasa ibunda saya iaitu Bahasa Malaysia. Hal ini disebabkan saya rasa ada beberapa perkara yang lebih mudah diterangkan dalam BM berbanding Bahasa Inggeris.

Buku Harian Baim... sebuah sinetron yang ditayangkan di TV9, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada 5.30 petang, sejurus selepas Upin & Ipin. Berdasarkan tajuk. senang untuk kita memahami bahawa sinetron ini mengisahkan karakter yang bernama Baim, yang mempunyai diari, memandangkan menggunakan logik umum, "buku harian" bermaksud diari. Hehe... ini baru sahaja bercerita tentang tajuk, belum apa-apa lain lagi...

Saya tidak pasti bermula episod ke berapa saya mula menonton sinetron ini, yang pastinya saya tidak menontonnya sejak dari episod pertama. Oleh itu, saya terpaksalah menggunakan kemahiran "Adding Two with Two" untuk menghubungkan cerita, watak-watak, tema dan konflik yang hendak disampaikan melalui cerita ini.

Minat saya terhadap sinetron ini bermula kerana saya tertarik pada lagu OST yang dicipta khas untuk sinetron ini. Lagu OSTnya diberi tajuk "Catatanku" dan dinyanyikan oleh Melly Goeslaw dan pelakon cilik yang melakonkan watak Baim, Ibrahim Khalil Alkatiri.


Plot sinetron ini amat mudah. Errr... sebenarnya agak rumit... Baim atau nama sebenarnya Ibrahim, seorang kanak-kanak berusia 4 tahun telah disahkan mengalami penyakit Spineccerebellar Degeneration, satu penyakit di mana dia mengalami kekurangan cairan otak yang boleh membawa kepada kelumpuhan. Apabila mengetahui dirinya sudah tidak mempunyai banyak masa untuk hidup, Baim melukis semua kenangan-kenangan manisnya dalam diarinya. Ini plot utamanya, tetapi kebiasaannya, ada laa plot sampingan yang merumitkan cerita, bukan?

Konflik

  1. Baim tinggal bersama ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal, Alya yang hanya bekerja sebagai seorang guru tadika. Dia juga tinggal bersama kakaknya, Fiona (kemudiannya lari dari rumah kerana mengejar impian menjadi orang kaya) dan abang angkatnya, Satria.
  2. Untuk membiayai kos perubatan Baim, Satria telah meminjam sejumlah wang yang besar daripada seorang usahawan kaya, Doni Atmaja. Untuk membayar balik pinjamannya, Satria bekerja sambilan di pejabat Doni kerana dia juga merupakan seorang pelajar universiti. Pada masa yang sama, Satria berpacaran dengan anak angkat Doni, bernama Olive, di universiti. Hubungan antara Satria dan Doni amat tegang (saya tak pasti mengapa, mungkin sebab hakikat Satria berpacaran dengan Olive atau Doni mendesak Satria untuk membayar hutangnya secepat mungkin)
  3. Doni sentiasa melawat Baim di hospital dan menggelarkan dirinya sebagai Papa Power Rangers. Identitinya menjadi satu persoalan besar kerana Doni sentiasa memakai topeng Power Rangers merah sewaktu melawat Baim. Alya pada mulanya gembira kerana ada insan yang sanggup meluangkan masa menghibur dan menemani Baim, tetapi apabila dia mendapat tahu bahawa Papa Power Rangers merupakan Doni, dia melarang Baim berjumpa dengannya.
  4. Doni mendesak Satria untuk membayar hutangnya secepat mungkin. Setelah berbincang dengan Satria, Alya menawarkan dirinya untuk berjumpa dengan bos Satria di pejabatnya. Tanpa mengetahui identiti bos Satria, Alya telah pergi ke pejabat Doni. Sewaktu dia dipanggil untuk masuk ke dalam pejabat Doni, Alya sekali lagi mendapat tahu bahawa Donilah yang telah meminjamkan wang untuk kos perubatan Baim. Alya akhirnya tidak berjumpa dengan bos Satria.
  5. Rupa-rupanya Doni merupakan bekas suami Alya. Doni telah menceraikan Alya demi mengejar kekayaan yang ditawarkan oleh isteri keduanya yang bernama Lisa. Lisa merupakan ibu kandung Olive. Ini apa yang Alya tahu. Pada hakikatnya, Doni sebenarnya rasa terhutang budi dengan Lisa yang telah memberikannya wang untuk membiayai kos perubatan anak perempuan mereka, Fiona. Tambahan pula, Lisa telah mengugut Doni untuk mengahwininya sebagai pampasan untuk hutangnya.
  6. Doni mendapat tahu bahawa Baim merupakan anak Alya. Dia cuba untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa terhadap Baim. Dalam proses itu, Doni yang hanya menguruskan syarikat milik Lisa, telah dibuang kerja dan jatuh miskin. Untuk menyara hidup (dan kos perubatan Baim), Doni membaiki barang-barang/alatan-alatan elektronik yang pecah/rosak.
  7. Bukan mudah untuk Alya menerima Doni semula dan ia mengambil masa yang lama untuk Alya akhirnya mengakui keikhlasan hati Doni.
  8. Seorang doktor pakar kanak-kanak tiba-tiba muncul dan dia bertekad untuk menyembuhkan Baim. Namanya Dr Krisna. Krisna merasakan dirinya terhutang budi kepada Baim kerana Baim telah menggembirakan hatinya di saat dia kebuntuan. Konflik seterusnya muncul apabila hakikat Krisna merupakan abang kandung Satria didedahkan. Satria membenci Krisna kerana dia tidak berada di samping ibunya sewaktu ibunya sakit tenat sebelum kematiannya.
  9. Peluang untuk Baim selamat dan pulih dalam pembedahan yang akan dilakukan oleh Dr Krisna amatlah tipis.
Sebenarnya, banyak lagi konflik lain, tetapi tak larat untuk menaip semuanya di sini.

Saya tidak sempat untuk menonton siri ini hingga ke penghujungnya kerana telah memulakan pelajaran di United Kingdom, tetapi mesej yang saya perolehi daripada adik saya di Malaysia ialah pada akhirnya, Baim meninggal dunia (huhuhu... sedihnya...). Tapi bagi saya, banyak pengajaran yang telah saya perolehi daripada sinetron Buku Harian Baim ini.

Pengajaran
  1. Hidup ini merupakan sebuah proses pembelajaran. Doni tidak pernah terlibat dalam proses membesarkan Baim. Apabila bersama Baim, dia pada mulanya tidak pasti akan tanggngjawabnya sebagai seorang bapa. Monolog dalamannya jelas menunjukkan penyesalan yang dia alami kerana telah mengabaikan Baim, dan dia bertekad untuk belajar menjadi seorang bapa mithali. Daripada contoh ini, apa yang dapat saya simpulkan ialah tidak kiralah siapa diri kita, atau apa pun keadaan kita sekalipun, tidak salah untuk kita mempelajari daripada kesilapan-kesilapan lalu untuk dijadikan pengajaran, seterusnya menjadi pendorong untuk memperbaiki diri sendiri.
  2. Kanak-kanak merupakan entiti yang suci. Mereka pada fitrahnya tidak dikotori dengan kejahatan. Dalam apa jua situasi, Alya telah mengajar Baim bahawa Allah SWT sahajalah tempat dia perlu memohon pertolongan. Baim juga tabah meneruskan kehidupannya kerana dia yakin bahawa dia telah dijanjikan dengan syurga Allah. Untuk itu, dia sentiasa memikirkan cara-cara untuk menghiburkan hati karakter-karakter yang sedang bersedih atau ditimpa kesusahan. Sekali-sekala sinetron ini akan menampilkan karakter-karakter yang mengkritik tindakan Alya "menyuntik" impian untuk cepat mati (dan bertemu dengan Pencipta di syurga) kepada Baim. Namun disebabkan kesucian hatinya, Baim kuat berpegang kepada nasihat-nasihat ibunya dan tidak putus membawa senyuman kepada orang-orang di sekelilingnya.
  3. Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan hati mereka, selagi mana mereka tidak berpegang kepada ajaran Allah SWT. Watak Lisa layak diberi kredit untuk pengajaran ini. Untuk memastikan Doni tidak kembali kepada Alya, Lisa pernah merancang untuk membunuh Alya. Untuk tidak mengotori tangannya sendiri, dia menggunakan Fiona, anak kandung Alya untuk membunuhnya. Lisa telah membelikan Fiona sebuah kereta baru dengan syarat Fiona dapat melanggar lari Alya pada satu malam (Fiona hanya dapat tahu yang dia perlu langgar Alya pada malam kejadian). Namun begitu, rancangan tersebut tidak berjaya kerana Fiona tidak sanggup untuk melanggar ibunya sendiri. Beberapa episod kemudian, sewaktu Alya dan Doni bakal bernikah semula, Lisa berpura-pura menghidap kanser untuk meraih simpati Alya. Dia tahu bahawa Alya pasti akan mengetepikan niatnya untuk bersama semula dengan Doni kerana Alya pasti mahukan Doni menjaga Lisa yang "hampir menemui ajalnya". Lisa berjaya dalam rancangannya ini apabila sewaktu akad nikah, Alya menyuarakan bahawa dia tidak bersetuju untuk berkahwin dengan Doni. Dalam kes Lisa, dia bukanlah merebut kekayaan (dia dah memang kaya), tetapi amatlah jelas diperlihatkan bahawa sifat hasad dengki yang telah mendorongnya untuk melakukan rencana-rencana jahat terhadap Alya dan keluarganya.
Sekian sahaja post kali ini. Banyak lagi pengajaran yang saya dapat daripada sinetron ini, tetapi saya tidak dapat nak mengingatkan semula semuanya (perbezaan waktu antara kali terakhir saya menonton sinetron ini dan sewaktu saya menulis post ini adalah lebih kurang 5 bulan)

No comments:

Post a Comment